Wednesday, May 12, 2010

Apa itu PPiM?

Okay, mungkin ramai dari kalangan kawan-kawan tahu apa maksud PPiM itu sebenar. PPiM itu bermaksud Pergerakan Puteri Islam Malaysia, PPiM itu singkatannya. Dan ia adalah satu daripada beberapa lagi Pasukan Pakaian Seragam. Atau kawan-kawan tidak tahu PPiM itu adalah sebuah Pasukan Pakaian Seragam? :) Tapi, itu bukan soalannya. Bukan: 'Maksud PPiM?' , tetapi: 'Apa itu PPiM?'

Kawan-kawan boleh copy dibawah dan print. Ini adalah LATAR BELAKANG PPiM.

LATAR BELAKANG PPIM

Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) adalah sebuah pergerakan berpakaian seragam yang bergerak secara sukarela di sekolah-sekolah rendah, menengah, institut dan Maktab Perguruan serta Institusi Pengajian Tinggi di seluruh Malaysia.
Aktiviti PPIM dijalankan bertujuan untuk membimbing puteri-puteri ke arah penyuburan dan pengembangan potensi-potensi diri secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah S.W.T


Dan ini pula SEJARAH PPiM.

SEJARAH PPIM

Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) diwujudkan pada tahun 60an oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) yang diilhamkan oleh YMM Tunku Puan Besar Kurshiah, Raja Permaisuri Agong yang pertama.
Keanggotaannya hanya untuk pelajar sekolah menengah. Ketika itu, kurikulum hanya berdasarkan kepada aktiviti keagamaan dan khidmat masyarakat yang bersifat memberi bantuan kepada golongan miskin.

Pada 17 Jun 1981, PPIM telah dilancarkan dengan rasminya oleh DYMM Raja Permaisuri Agong Ke 6 Almarhummah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Panglima Perang, Tengku Muhammad Rahimahallah, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Y.A.Bhg. Toh Puan Norashikin Ismail dilantik sebagai Yang DiPertua PPIM Pertama.

Hari Puteri disambut pada 17 Jun setiap tahun bagi memperingati kelahiran PPIM dan ia pertama kali diadakan di peringkat kebangsaan pada 20 Jun 1987.
Pada Hari Puteri 1988, Majlis Pentadbir Kebangsaan PPIM telah mengiktiraf ‘Puteri Cemerlang’ dan Piala Pusingan bagi Anugerah Tokoh Puteri telah disumbangkan oleh DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku Bainun.

Pada 11 September 1993, PPIM dibenarkan bergerak sebagai Pertubuhan Beruniform di dalam Ko-Kurikulum (GERKO) di semua maktab perguruan di seluruh Malaysia.

Skuad Puteri telah dilancarkan oleh Y.A.Bhg. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 23 November 1996 bagi meluaskan penglibatan remaja dan wanita lepasan sekolah di dalam kerja-kerja khidmat masyarakat seperti bantuan bagi mangsa banjir dan program ziarah hospital.

PPIM sekali lagi menempa sejarah apabila dilancarkan di institusi pengajian tinggi pada 8 April 2000 oleh Y.A.Bhg. Datin Seri Endon Mahmood (Allahyarhamah) di Universiti Islam Antarabangsa.
Pada awal tahun 2004. dibawah kepimpinan Y.Bhg. Puan Sri Hajah Hazizah Haji Tumin (Allahyarhamah), ibu pejabat PPIM telah berpindah ke Darul Puteri. Perasmian Darul Puteri telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid pada 24 Ogos 2005.

Pada 24 Mac 2007, kekosongan jawatan Yang Dipertua telah diisi oleh Y.Bhg. Datin Hajah Badiah Abdul Manan setelah menang tanpa bertanding pada sesi pemilihan 2007-2009.


Harap kawan-kawan boleh dapat tahu serba sedikit tentang PPiM. Ini juga boleh diletakkan didalam buku skrap atau lebih dikenali sebagai buku log PPiM. Sekian, terima kasih!

1 comment: